Membina Laman Web

Laman web ataupun website boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai atau sebagai catatan kepada diri sendiri atau boleh digunakan untuk menyimpan memori-memori yang ingin dikongsi dengan orang yang lain.

Berbagai-bagai jenis maklumat boleh dikongsikan melalui laman web ini. Terpulang kepada pemilik laman web tersebut untuk berkongsi minat atau segala apa yang ingin dikongsi bersama pembaca laman web berkenaan. Tapi bagi saya, laman web yang sesuai adalah bertujuan untuk berkongsi maklumat yang memberi manfaat kepada orang lain dan sambil itu boleh berkongsi ilmu dan berlatih untuk menulis berkenaan minat masing-masing.

Kenapa Bina Laman Web?

Kelebihan membina laman web sendiri berbanding dengan membuat posting di laman sosial seperti Facebook atau Instagram adalah, anda bebas untuk menentukan rekaan laman web anda serta tidak terikat dengan format yang telah ditetapkan oleh laman sosial tersebut. Laman web anda, anda lah yang mencorakkannya. Jika anda menggunakan laman sosial untuk berkongsi sesuatu perkara, anda adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh laman web tersebut.

Disamping itu, anda boleh menggunakan nama anda sendiri sebagai domain. Secara tidak langsung, memberi gambaran yang anda memang mementingkan identiti anda sendiri. Sebagai contoh, kamarulzaman.com. Jika anda telah mendaftarkan nama anda sebagai domain, orang lain tidak boleh menggunakan atau mendaftarkan nama tersebut untuk kegunaan mereka.

Apa Yang Perlu Ada Untuk Bina Laman Web?

Domain

Kalau rumah kita, orang nak cari rumah kita guna alamat. Kalau laman web pulak, kita panggil domain sebagai alamat laman web kita. Domain boleh dibeli dari pendaftar domain yang banyak boleh didapati di internet. Kita juga boleh mendapatkat domain yang berkaitan dengan negara, seperti domain .com.my atau .my atau .com.sg. Domain yang berasaskan negara, akan tertakluk kepada negara tersebut di dalam syarat pendaftaran atau penggunaan domain tersebut. Dan domain yang paling biasa di dunia internet ialah .com, .net, .org dan ada beberapa jenis domain lain yang boleh digunakan bergantung kepada kesesuaian nama atau perniagaan yang dijalankan. Sebagai contoh, domain yang saya gunakan adalah kamarulzaman.com.  ???? 

Dari segi pemilihan domain pula, untuk blog peribadi, anda boleh memilih menggunakan nama anda sebagai domain. Bagi perniagaan pula, anda boleh menggunakan nama perniagaan anda sebagai domain kerana ia merupakan alamat anda di dunia maya. Nama perniagaan anda merupakan jenama anda yang harus anda gunakan sebagai tanda nama laman web anda.

Hosting

Bila anda telah membangunkan laman web anda, anda perlu memastikan laman web anda boleh diakses setiap masa di internet. Di sinilah Hosting memberi peranan. Segala file dan gambar yang anda akan gunakan di laman web anda perlu anda masukkan ke dalam komputer dan komputer tersebut perlu boleh di akses oleh orang ramai 24/7. Hosting juga boleh dikatakan web server yang beroperasi 24 jam.

Saiz Hosting atau webserver anda perlu bersesuaian dengan keperluan anda. Jika laman web anda menggunakan banyak gambar, saiz yang anda perlu ada lebih besar berbanding laman web yang menggunakan teks.

Disamping saiz hosting, jumlah trafik juga memberi peranan dalam pemilihan web hosting yang sesuai untuk laman web anda. Kerana ada web hosting yang menetapkan saiz bandwidth yang boleh digunakan. Bandwidth boleh disamakan dengan penggunaan data telefon bimbit anda. Kalau syarikat telefon menetapkan 10GB sebulan untuk penggunaan data telefon bimbit, begitu juga ada sesetengah webhosting yang menetapkan jumlah data yang boleh diakses oleh pengunjung laman web anda. Tapi jangan risau, tentu lebih banyak dari data telefon bimbit anda.  ???? Ada juga webhosting yang memberikan Bandwidth yang unlimited. Anda boleh menilai dan membeli mengikut keperluan laman web anda.

Oklah, setakat ini saja perkongsian saya berkenaan pembinaan laman web. Saya akan memberikan maklumat lanjut berkenaan Pembinaan Laman Web pada posting yang akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *